Showing posts with label Putus cinta. Show all posts
Showing posts with label Putus cinta. Show all posts
Posted on Monday, July 20, 2009

Pelamin angannya musnah jua…

Jika kalian ada membaca tentang “misi” rahsia aku selang satu entry di bawah pasti terbaca kenyataan yang aku telah menetapkan had sasar pada Oktober nanti untuk menamatkan misi tersebut dengan harapan dapat menghadiri dan seterusnya membuat penampilan pertama aku di majlis pernikahan seorang rakan blogger. Namanya eloklah dirahsiakan.

Namun kita sebagai insan biasa hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang punya takdir putus penentuan. Pelamin yang di angankan oleh rakan ku itu hanya tinggal impian sahaja kerana tanpa dijangka telah musnah sebelum sempat terbina. Walaupun aku tiada kaitan terus, impaknya turut ku rasai kerana matlamat dan sumber rangsangan misi aku turut terbantut. Malah menguatkan lagi fobia yang membelenggu diriku.

Sayu hati bilamana membaca luahan rasa beliau di yahoo messenger. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang menanggungnya. Walaupun aku sedia maklum yang bekas jodohnya itu hanya pilihan ibu bapa namun jauh di sudut hati seorang wanita walau seteguh mana pun benteng pertahanan jiwanya, akan luluh juga dek penangan emosi.

Pilihan ibu bapa tidak bermakna beliau tidak perlu endah dan dengan pantas kembali jalani kehidupan seperti biasa kerana sebagai bakal pengantin sudah tentu menjadi watak utama lantas beliaulah orang pertama yang bakal menjadi bahan bisikan perlian, jelingan sinis dan spekulasi liar segelintir golongan masyarakat yang dahagakan drama hidup.

Tambahan pula mengikut perancangan awal, Majlis yang dirancang merupakan perkahwinan berkembar kerana adiknya juga akan diijabkabulkan pada hari yang sama. Ini antara sebab yang membuatkannya lebih terkilan.

Disebalik simpati, aku turut kagum dengan semangat tidak mementingkan diri yang mana beliau pula yang berasa bersalah, risau maruah keluarga akan tercemar dek tohmahan walhal beliaulah sebenarnya yang menjadi mangsa.

Beliau sanggup mengenepikan hak sendiri dengan menerima dengan pasrah lelaki pilihan ibu bapa walaupun hati budi bakal suaminya itu belum sempat diselami. Mungkin pada hematnya apa yang terbaik bagi ibu bapa, baik juga baginya.

Rakanku ini, biarpun pada lahiriah beliau tampak tegas lagi gah tetapi nilai murni seorang wanita melayu sejati yang pantang derhaka masih digenggam erat. Beliau juga redha dengan sikap bakal tunangannya yang mula mempamerkan kejengkelan. Segala kongkongan dan larangan lelaki tersebut diterimanya dengan akur.

Makan hati? sudah semestinya. Mahunya tidak…setiap wanita pasti impikan pasangan hidup yang sejiwa, yang dapat memberi sepenuh dorongan dan galakan atas minatnya serta memberi kebebasan untuk menjadi dirinya sendiri, bukan dengan lagak egois dan kongkongan tanpa belas. Dalam bahasa mudah, beliau mengharapkan seorang lelaki yang dapat menerima dirinya seadanya.

Tiada serangan balas, beliau hanya mampu memendam rasa dan terima saja semuanya  dengan redha demi untuk menjaga hati bakal tunang/suami dan tidak rela menghancurkan harapan keluarga jika memberontak.

Namun aku percaya Tuhan sangat sayangkannya. Segala kepincangan dan rahsia sisi gelap lelaki tersebut yang disembunyi rapi selama ini akhirnya terbongkar jua. Barulah bapa kepada rakanku menyedari rupa-rupanya lelaki tersebut bukanlah bakal menantu kebanggaan yang ditatang selama ini.

Ibu bapa mana yang sanggup membiarkan anak daranya bersuamikan seorang lelaki banjingan?

Si bapa akhirnya mengambil keputusan nekad dengan membatalkan segala perancangan pertunangan dan pernikahan anak gadisnya dengan lelaki tersebut. Kemurnian dan keluhuran lebih penting dari pangkat dan harta.

Apa pun kepincangan lelaki tersebut tidak perlulah aku dedahkan di sini. Apa yang penting, syukur kerana kebenaran muncul diperingkat awal. Bayangkan jika semuanya sudah sah, sudah tentu perkahwinan tersebut bakal menjadi satu episod hidup yang amat tragis bagi rakanku.

Sebelum mengakhiri sesi luahan rasa, beliau pernah bertanya padaku bagaimanakah beliau harus hadapi tarikh-tarikh keramat yang sepatutnya menjadi hari  bersejarah pertunangan dan pernikahannya itu? Semakin hari semakin dekat, risau beliau mungkin tewas dengan luluhan emosi. Beliau sebolehnya ingin cuba untuk melupakan terus tarikh-tarikh tersebut yang dianggapnya malang.

Jawabku…

Mulai tahun ini, jangan sesekali lupakan tarikh tersebut, Ingati! Raikan! Sambutlah dengan senyuman dan lafaz syukur ke hadrat Ilahi kerana beliau telah terselamat dari menjadi mangsa seorang lelaki rakus lagi dayus. Jika diteruskan juga perahwinan tersebut, sudah pasti tarikh itu bakal menjadi tarikh yang akan diratap sesal sepanjang hidupnya…

Tabah rakanku, tabah.

Bersabarlah. Percaya atas segala hikmah disebalik ujian getir ini…


Posted on Monday, March 16, 2009

Trauma Cinta Pertama – Part 1

Cinta pertama sememangnya satu pengalaman yang tidak mudah dilupakan oleh majoriti dari kita. Rasanya ramai yang mengenang cinta pertama sebagai salah satu episod indah dalam hidup mereka.

Tidak bagi aku.

Cinta pertama bagi aku satu pengalaman yang telah merubah hidupku selamanya. Aku menjadi philophobia akibat dari cinta pertama ini. Traumanya masih dirasai sehingga kini. Aku memang secara hakiki seorang yang suka mengambil berat dan intim pada semua orang. Ramai yang menyalahertikan kemesraan yang aku tunjukkan seolah memberi hint yang aku meminati mereka.

Kekadang aku terpaksa back off dari hidup seseorang jika dia mula menunjukkan minat ingin menjadikanku lebih dari seorang kawan. Tetapi aku akan cuba dahulu berdiplomasi dengan cara berbincang dari hati ke hati dengannya supaya dia memahamiku.

Jika dia masih tidak dapat menerima hakikat aku terpaksa mengambil langkah drastik cuba membuatnya melupakanku atau paling ekstrim membenciku. Dengan cara ini aku telah menyelamatkannya dari menjadi mangsa cinta yang tidak pasti dia dapat kecapi dariku. Ramai lagi lelaki lain yang aku kira mampu membahagiakannya dengan cinta sejati.

Bukan aku menolak jodoh tetapi aku masih belum bersedia dan masih gentar untuk memulakan level baru dalam hidup yakni alam perkahwinan. Aku risau jika aku tidak ikhlas dalam perhubungan tersebut dengan menerima cinta atas dasar menjaga hati orang lain. Aku tidak mahu satu hari aku dipersalahkan jika cinta itu hancur di tengah jalan. Dari menyeksa hati, perasaan dan harapan orang lain lebih baik aku sendiri...

Berbalik pada cinta pertama tadi..aku akan ceritakan bagaimana semuanya bermula..
Nantikan Part 2 coretan tentang trauma cinta pertama yang telah menjadikanku seorang manusia yang gentar pada cinta.

To be continued...


Posted on Friday, March 06, 2009

Putus cinta: Lelaki atau perempuan lebih menderita?

Putus cinta sememangnya satu pengalaman yang terlalu menyakitkan. Ramai yang akan menafikan tetapi bagi aku selalunya lelakilah yang lebih menderita jika dikecewakan cinta.

Kenapa? kenapa bukan perempuan yang diketahui secara semulajadinya berjiwa sensitif dan lembut maka akan mudah menderita akibat tekanan emosi?

Kebanyakan lelaki jiwanya ego dan sentiasa mahu menjaga kemachoan. Sifat inilah yang membuatkan lelaki selalu memendam rasa dan malu untuk meluahkan. Emosi terpendam ini akan membawa ke depresi dan melankoli berpanjangan.

Inilah yang menjadikan lelaki sebenarnya lebih menderita. Walhal perempuan akan cepat sembuh dari tangungan derita disebabkan emosi mereka lebih terbuka dan mudah dialirkan keluar melalui tangisan.

Tetapi penderitaan ini hanya relevan jika lelaki yang jadi mangsa perpisahan tersebut dan bukan punca. Juga perlu diingatkan tidak semua lelaki sama sifatnya.