Showing posts with label kecewa. Show all posts
Showing posts with label kecewa. Show all posts
Posted on Monday, July 20, 2009

Pelamin angannya musnah jua…

Jika kalian ada membaca tentang “misi” rahsia aku selang satu entry di bawah pasti terbaca kenyataan yang aku telah menetapkan had sasar pada Oktober nanti untuk menamatkan misi tersebut dengan harapan dapat menghadiri dan seterusnya membuat penampilan pertama aku di majlis pernikahan seorang rakan blogger. Namanya eloklah dirahsiakan.

Namun kita sebagai insan biasa hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang punya takdir putus penentuan. Pelamin yang di angankan oleh rakan ku itu hanya tinggal impian sahaja kerana tanpa dijangka telah musnah sebelum sempat terbina. Walaupun aku tiada kaitan terus, impaknya turut ku rasai kerana matlamat dan sumber rangsangan misi aku turut terbantut. Malah menguatkan lagi fobia yang membelenggu diriku.

Sayu hati bilamana membaca luahan rasa beliau di yahoo messenger. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang menanggungnya. Walaupun aku sedia maklum yang bekas jodohnya itu hanya pilihan ibu bapa namun jauh di sudut hati seorang wanita walau seteguh mana pun benteng pertahanan jiwanya, akan luluh juga dek penangan emosi.

Pilihan ibu bapa tidak bermakna beliau tidak perlu endah dan dengan pantas kembali jalani kehidupan seperti biasa kerana sebagai bakal pengantin sudah tentu menjadi watak utama lantas beliaulah orang pertama yang bakal menjadi bahan bisikan perlian, jelingan sinis dan spekulasi liar segelintir golongan masyarakat yang dahagakan drama hidup.

Tambahan pula mengikut perancangan awal, Majlis yang dirancang merupakan perkahwinan berkembar kerana adiknya juga akan diijabkabulkan pada hari yang sama. Ini antara sebab yang membuatkannya lebih terkilan.

Disebalik simpati, aku turut kagum dengan semangat tidak mementingkan diri yang mana beliau pula yang berasa bersalah, risau maruah keluarga akan tercemar dek tohmahan walhal beliaulah sebenarnya yang menjadi mangsa.

Beliau sanggup mengenepikan hak sendiri dengan menerima dengan pasrah lelaki pilihan ibu bapa walaupun hati budi bakal suaminya itu belum sempat diselami. Mungkin pada hematnya apa yang terbaik bagi ibu bapa, baik juga baginya.

Rakanku ini, biarpun pada lahiriah beliau tampak tegas lagi gah tetapi nilai murni seorang wanita melayu sejati yang pantang derhaka masih digenggam erat. Beliau juga redha dengan sikap bakal tunangannya yang mula mempamerkan kejengkelan. Segala kongkongan dan larangan lelaki tersebut diterimanya dengan akur.

Makan hati? sudah semestinya. Mahunya tidak…setiap wanita pasti impikan pasangan hidup yang sejiwa, yang dapat memberi sepenuh dorongan dan galakan atas minatnya serta memberi kebebasan untuk menjadi dirinya sendiri, bukan dengan lagak egois dan kongkongan tanpa belas. Dalam bahasa mudah, beliau mengharapkan seorang lelaki yang dapat menerima dirinya seadanya.

Tiada serangan balas, beliau hanya mampu memendam rasa dan terima saja semuanya  dengan redha demi untuk menjaga hati bakal tunang/suami dan tidak rela menghancurkan harapan keluarga jika memberontak.

Namun aku percaya Tuhan sangat sayangkannya. Segala kepincangan dan rahsia sisi gelap lelaki tersebut yang disembunyi rapi selama ini akhirnya terbongkar jua. Barulah bapa kepada rakanku menyedari rupa-rupanya lelaki tersebut bukanlah bakal menantu kebanggaan yang ditatang selama ini.

Ibu bapa mana yang sanggup membiarkan anak daranya bersuamikan seorang lelaki banjingan?

Si bapa akhirnya mengambil keputusan nekad dengan membatalkan segala perancangan pertunangan dan pernikahan anak gadisnya dengan lelaki tersebut. Kemurnian dan keluhuran lebih penting dari pangkat dan harta.

Apa pun kepincangan lelaki tersebut tidak perlulah aku dedahkan di sini. Apa yang penting, syukur kerana kebenaran muncul diperingkat awal. Bayangkan jika semuanya sudah sah, sudah tentu perkahwinan tersebut bakal menjadi satu episod hidup yang amat tragis bagi rakanku.

Sebelum mengakhiri sesi luahan rasa, beliau pernah bertanya padaku bagaimanakah beliau harus hadapi tarikh-tarikh keramat yang sepatutnya menjadi hari  bersejarah pertunangan dan pernikahannya itu? Semakin hari semakin dekat, risau beliau mungkin tewas dengan luluhan emosi. Beliau sebolehnya ingin cuba untuk melupakan terus tarikh-tarikh tersebut yang dianggapnya malang.

Jawabku…

Mulai tahun ini, jangan sesekali lupakan tarikh tersebut, Ingati! Raikan! Sambutlah dengan senyuman dan lafaz syukur ke hadrat Ilahi kerana beliau telah terselamat dari menjadi mangsa seorang lelaki rakus lagi dayus. Jika diteruskan juga perahwinan tersebut, sudah pasti tarikh itu bakal menjadi tarikh yang akan diratap sesal sepanjang hidupnya…

Tabah rakanku, tabah.

Bersabarlah. Percaya atas segala hikmah disebalik ujian getir ini…


Posted on Wednesday, February 18, 2009

Jangan mudah tergadah apabila sedang gundah



"Life is like a circle "
"Hidup ibarat putaran roda "

Kita memang biasa mendengar ungkapan itu tetapi kekadang kita alpa untuk menerima hakikat yang mana sepanjang perjalanan hidup tidak sepanjang masa kita akan mengecapi kemanisannya, pasti elemen yang pahit akan kita kecapi jua.
Cuma terpulang kepada kita untuk mengeksploitasi elemen pahit itu atau akan terus mengabdikan diri sebagai mangsa elemen tersebut.

Exploitasi kepahitan hidup bermaksud anda menggunakan pengalaman pahit tersebut sebagai pendorong dan semangat untuk membuktikan anda kuat dan tidak mudah dipandang remeh dan lemah.
Juga jadikan ia sebagai pengajaran disuatu hari yang anda tidak akan lagi menjadi mangsa keadaan dan tidak mudah lagi diperkotak-katik.

Mengabdikan diri sebagai mangsa elemen bermakna anda terus mengalah apabila menghadapi ujian tersebut. Situasi ini tidak mungkin akan menguntungkan anda, malah akan menunjukkan anda lemah dan seterusnya memberi kepuasan kepada individu yang mengecewakan anda atau yang mahu lihat anda jatuh.

Jika anda sedang gundah anda patut bersyukur..kerana seperti roda, anda akan kembali berada di atas tak lama lagi. Jika hidup anda sentiasa disaluti bahagia yang patut anda risaukan kerana bila-bila masa anda akan terjunam ke bawah.

Oleh itu, jgn mudah tergadah apabila sedang gundah, redha dan nantikan sinar bahagia yang pasti akan menjelang.

Aku berkongsi inspirasi ini juga sebagai nasihat kepada diri aku sendiri kerana aku hanyalah insan biasa, juga kerap dan sedang menghadapi konflik hidup.

Together we stay strong, embrace and strive to overcome our difficult times...