Showing posts with label perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label perkahwinan. Show all posts
Posted on Monday, July 20, 2009

Pelamin angannya musnah jua…

Jika kalian ada membaca tentang “misi” rahsia aku selang satu entry di bawah pasti terbaca kenyataan yang aku telah menetapkan had sasar pada Oktober nanti untuk menamatkan misi tersebut dengan harapan dapat menghadiri dan seterusnya membuat penampilan pertama aku di majlis pernikahan seorang rakan blogger. Namanya eloklah dirahsiakan.

Namun kita sebagai insan biasa hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang punya takdir putus penentuan. Pelamin yang di angankan oleh rakan ku itu hanya tinggal impian sahaja kerana tanpa dijangka telah musnah sebelum sempat terbina. Walaupun aku tiada kaitan terus, impaknya turut ku rasai kerana matlamat dan sumber rangsangan misi aku turut terbantut. Malah menguatkan lagi fobia yang membelenggu diriku.

Sayu hati bilamana membaca luahan rasa beliau di yahoo messenger. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang menanggungnya. Walaupun aku sedia maklum yang bekas jodohnya itu hanya pilihan ibu bapa namun jauh di sudut hati seorang wanita walau seteguh mana pun benteng pertahanan jiwanya, akan luluh juga dek penangan emosi.

Pilihan ibu bapa tidak bermakna beliau tidak perlu endah dan dengan pantas kembali jalani kehidupan seperti biasa kerana sebagai bakal pengantin sudah tentu menjadi watak utama lantas beliaulah orang pertama yang bakal menjadi bahan bisikan perlian, jelingan sinis dan spekulasi liar segelintir golongan masyarakat yang dahagakan drama hidup.

Tambahan pula mengikut perancangan awal, Majlis yang dirancang merupakan perkahwinan berkembar kerana adiknya juga akan diijabkabulkan pada hari yang sama. Ini antara sebab yang membuatkannya lebih terkilan.

Disebalik simpati, aku turut kagum dengan semangat tidak mementingkan diri yang mana beliau pula yang berasa bersalah, risau maruah keluarga akan tercemar dek tohmahan walhal beliaulah sebenarnya yang menjadi mangsa.

Beliau sanggup mengenepikan hak sendiri dengan menerima dengan pasrah lelaki pilihan ibu bapa walaupun hati budi bakal suaminya itu belum sempat diselami. Mungkin pada hematnya apa yang terbaik bagi ibu bapa, baik juga baginya.

Rakanku ini, biarpun pada lahiriah beliau tampak tegas lagi gah tetapi nilai murni seorang wanita melayu sejati yang pantang derhaka masih digenggam erat. Beliau juga redha dengan sikap bakal tunangannya yang mula mempamerkan kejengkelan. Segala kongkongan dan larangan lelaki tersebut diterimanya dengan akur.

Makan hati? sudah semestinya. Mahunya tidak…setiap wanita pasti impikan pasangan hidup yang sejiwa, yang dapat memberi sepenuh dorongan dan galakan atas minatnya serta memberi kebebasan untuk menjadi dirinya sendiri, bukan dengan lagak egois dan kongkongan tanpa belas. Dalam bahasa mudah, beliau mengharapkan seorang lelaki yang dapat menerima dirinya seadanya.

Tiada serangan balas, beliau hanya mampu memendam rasa dan terima saja semuanya  dengan redha demi untuk menjaga hati bakal tunang/suami dan tidak rela menghancurkan harapan keluarga jika memberontak.

Namun aku percaya Tuhan sangat sayangkannya. Segala kepincangan dan rahsia sisi gelap lelaki tersebut yang disembunyi rapi selama ini akhirnya terbongkar jua. Barulah bapa kepada rakanku menyedari rupa-rupanya lelaki tersebut bukanlah bakal menantu kebanggaan yang ditatang selama ini.

Ibu bapa mana yang sanggup membiarkan anak daranya bersuamikan seorang lelaki banjingan?

Si bapa akhirnya mengambil keputusan nekad dengan membatalkan segala perancangan pertunangan dan pernikahan anak gadisnya dengan lelaki tersebut. Kemurnian dan keluhuran lebih penting dari pangkat dan harta.

Apa pun kepincangan lelaki tersebut tidak perlulah aku dedahkan di sini. Apa yang penting, syukur kerana kebenaran muncul diperingkat awal. Bayangkan jika semuanya sudah sah, sudah tentu perkahwinan tersebut bakal menjadi satu episod hidup yang amat tragis bagi rakanku.

Sebelum mengakhiri sesi luahan rasa, beliau pernah bertanya padaku bagaimanakah beliau harus hadapi tarikh-tarikh keramat yang sepatutnya menjadi hari  bersejarah pertunangan dan pernikahannya itu? Semakin hari semakin dekat, risau beliau mungkin tewas dengan luluhan emosi. Beliau sebolehnya ingin cuba untuk melupakan terus tarikh-tarikh tersebut yang dianggapnya malang.

Jawabku…

Mulai tahun ini, jangan sesekali lupakan tarikh tersebut, Ingati! Raikan! Sambutlah dengan senyuman dan lafaz syukur ke hadrat Ilahi kerana beliau telah terselamat dari menjadi mangsa seorang lelaki rakus lagi dayus. Jika diteruskan juga perahwinan tersebut, sudah pasti tarikh itu bakal menjadi tarikh yang akan diratap sesal sepanjang hidupnya…

Tabah rakanku, tabah.

Bersabarlah. Percaya atas segala hikmah disebalik ujian getir ini…


Posted on Friday, April 24, 2009

Perkahwinan dan kebebasan

Aku ingin bertanya kepada mereka yang telah berkahwin. Pernah atau tidak rasa rindu pada kebebasan yang dikecapi semasa zaman bujang? Dahulu hanya fikir diri sendiri sahaja, hendak ke mana-mana, pulang lewat malam, jumpa siapa saja, apa-apa aktiviti yang ingin dilakukan. Bebas. Tiada siapa yang larang. Tiada perlu report pada sesiapa.

Dahulu hanya menanggung diri sendiri. Poket kering tidak mengapa. Setelah berkahwin terpaksa memikirkan tanggungjawab untuk mencari nafkah untuk menyuap mulut-mulut lain. Malah perlu mementingkan mereka terlebih dahulu dari diri sendiri. Tiada wang bukan lagi alasan untuk melepaskan diri. Wajib mencari rezeki walau dengan apa cara sekalipun yang mampu demi menyara insan-insan yang kita tanggungi.

Semua ini salah adalah antara faktor yang aku fikirkan samaada aku cukup kuat untuk menerima tanggungjawab besar ini. Mungkin aku kebelakangan ini bukan lagi seorang yang suka bersosial dan berfoya-foya. Kini aku lebih suka suasana yang tenang dan aman tanpa gangguan. Ketenangan ini juga satu kebebasan bagi aku. Aku tak dapat bayangkan terpaksa korbankan semua ini, terpaksa bertoleransi dengan segala hectic kerenah keluarga dan berkongsi masa dan dedikasi hidup aku dengan insan lain sepanjang hayat.

Mungkin keengganan melepaskan kebebasan dan kepentingan diri sendiri sebagai orang bujang ini salah satu tanda aku masih belum bersedia menempuh alam perkahwinan.

Gambar di atas sekadar gambar hiasan atas izin pemiliknya, Hezesuze. Hezesuze dan pasangannya ini antara pasangan yang telah berkahwin yang aku takjub dan kagumi kerana dari segi observasi, aku dapati hidupnya tetap ceria dan bebas walaupun sudah punya deretan cahaya mata. Lawatilah blognya di sini dan tatapilah wajahnya yang penuh blissful dan kepuasan hidup rumahtangga. Mungkin Heze telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan soulmate sehati sejiwanya. Melihat mereka seolah memberi harapan baru dan inspirasi pada aku dan dapat menangkis persepsi negatif dalam diri berkenaan alam perkahwinan.

Disclaimer: Entry ini TIDAK dibayar mahupun disponsor oleh Hezesuze. Sekadar admirasi.


Posted on Wednesday, April 22, 2009

Cinta selepas kahwin lebih manis dan bahagia?

Kebelakangan ini aku teramat sibuk akibat dari segala tanggungjawab di alam realiti. Nak update blog pun kekadang tiada ilham akibat penat dan kekusutan fikiran. Bagi mereka yang menantikan kisah lanjut “Mangsa Cinta Si Philophobic” harap bersabar ya. Coming soon.

Baiklah. Merujuk pada tajuk di atas aku ingin berkongsi revelasi aku tentang adakah Cinta selepas berkahwin lebih manis, bahagia dan kekal? Pada yang telah berkahwin, pendapat dan pandangan kalian juga amat dialu-alukan.

Bagi aku secara personal terasa betulnya pendapat tersebut berdasarkan pengamatan aku yang mana pasangan yang bermula dengan percintaan sebelum ke jinjang pelamin selalu mengalami konflik rumahtangga. Berikut merupakan antara point aku yang menyokong topik ini. Jika ada lagi akan aku tambah kemudian. Jadi, sesiapa yang ada idea sila kemukakan.

1. Konflik terjadi disebabkan cinta telah habis diluahkan semasa zaman bercinta sehinggakan tiada lagi yang tinggal untuk bekalan untuk alam rumahtangga seterusnya mengakibatkan timbulnya perasaan jemu dan bosan dengan pasangan.

2. Tiada lagi kemanisan. Ini ditujukan pada pasangan kekasih yang terlalu jiwang dan rakus sehingga terlanjur. Jadi, apabila mereka telah berkahwin, tiada apa lagi yang istimewa untuk dipersembahkan pada pasangan.

3. Setiap hari dan selamanya merupakan bulan madu bagi mereka yang bercinta selepas berkahwin kerana setiap hari merupakan satu pengembaraan untuk mempelajari dan menerokai hati budi pasangan. Jika dah puas bercinta sebelum kahwin rasanya sudah tiada thrill.

4. Sejarah membuktikan bahawa perkahwinan selepas berkahwin kekal bahagia sehingga ke akhir hayat. Ini terjadi pada orang-orang lama yang mana perkahwinan mereka diatur oleh ibu bapa mereka. Contoh terdekat adalah parents aku sendiri. Mereka hanya mengenali satu sama lain pada hari pernikahan itu sendiri. Alhamdulillah kekal bahagia sehinggalah bapaku meninggal dunia baru-baru ini. Ibuku dengan penuh setia tanpa keluhan menjaga bapaku ketika arwah sakit.

5. Melalui sumber yang aku baca, bercinta selepas berkahwin sebenarnya adalah sunnah junjungan kita, Rasulullah S.A.W sendiri. Ini untuk mengelak zina dan perlakuan yang boleh menjurus ke arah itu. Rasanya majoriti yang sedang bercinta pasti mempunyai imaginasi dan nafsu untuk bermesra dengan kekasih mereka yang sudah tentu bukan muhrim.

Tentu nanti ada yang bertanya apa motif aku bangkitkan topik ini. Adakah aku akan mengambil jalan ini untuk menamatkan zaman teruna bujangku?

Jawapannya aku sendiri belum mengetahui. Masih menanti seru. Masih belum yakin adakah aku sanggup memperjudikan nasib aku dan masa depan anak dara orang dengan berkahwin dengan sesiapa sahaja pilihan rakan atau keluarga dengan cuma berlandaskan harapkan cinta akan bersemi selepas berkahwin. Aku masih gentar dengan segala kemungkinan…

Kredit foto: http://www.mississippifamilylawblog.com