Showing posts with label trauma cinta pertama. Show all posts
Showing posts with label trauma cinta pertama. Show all posts
Posted on Wednesday, April 08, 2009

Trauma Cinta Pertama – Part 5 (last)

Selepas dibenarkan keluar dari SJMC, aku kembali bertugas seperti biasa. Aku sekali lagi bertanya samaada dia masih sudi memberi aku peluang kedua. Sekali lagi aku kecewa dengan jawapan negatif. Dia mahu menganggapku hanya sebagai kawan. Perhatian dan keperihatinannya padaku semasa di hospital hanyalah atas dasar simpati semata.

Aku sedaya upaya gagahi bekerja seperti biasa walaupun sudah tiada kekuatan. Aku masih tidak boleh menerima hakikat yang gadis yang aku angankan bakal menjadi permaisuri hidupku kini milik orang lain. Aku rasa cemburu yang teramat bila membayangkan selepas ini lelaki lain pula yang akan bermesra dan membelainya. Aku rasa seolah semuanya tiada bermakna lagi.

Prestasi aku kembali merundum. Aku tidak lagi bersemangat bekerja. Tambahan pula kami satu pejabat, jadi setiap masa aku tersentap apabila melihatnya berbual ditelefon dengan lelaki lain dan tampak ceria.

Hati aku sakit mengenangkan yang begitu mudahnya dia melupakan cinta yang bersemi dahulu. Begitu mudah dia memulakan cinta itu dan akhirnya dia juga yang mengakhirinya. Begitu mudah dia kembali normal seolah tiada apa-apa yang berlaku padahal aku tersiksa berhempas pulas diulit duka. Yang buat aku lebih sakit hati apabila dia keras menafikan yang dia ada hubungan istimewa dengan lelaki itu padahal aku mendengar dari sumber yang boleh dipercayai yang dia dan lelaki itu sedang bercinta.

Sejak berpisah dia tidak lagi memilih giliran offday sama hari dengan aku. Aku syak sesuatu. Pada hari dia bercuti aku menelefonnya dari pejabat. Bibiknya memberitahu yang dia keluar. Naluri aku kuat mengatakan yang dia keluar dengan lelaki itu.

Lalu aku mengambil cuti kecemasan dan bergegas pergi ke Subang Parade mencari mereka. Tidak jumpa. Aku pergi pula ke KL, dari satu shopping complex ke shopping complex yang lain mencari mereka. Aku bagaikan telah pyscho. Bukan tidak merestui cinta barunya tetapi aku rasa diri aku tercabar apabila dia berselindung dariku. Aku rasa terhina kerana dia tidak berterus terang. Aku tidak suka ditipu sebegini.

Setelah penat mencari aku menunggu mereka di stesen komuter Subang Jaya. Firasat aku kuat mengatakan yang mereka menaiki komuter. 5 jam aku menunggu dengan bodohnya di stesen itu dan akhirnya memang betul firasat aku. Aku nampak mereka berdua dengan mesranya berpimpin tangan keluar dari komuter dan masuk ke stesen.

Niat aku bukanlah untuk menyerang mereka. Cuma untuk mengetahui kebenaran dan berhadapan dengan lelaki itu untuk mengetahui kebenaran. Di pintu stesen mereka tergamam melihat aku. Gadis itu seperti memberitahu lelaki itu supaya beredar kerana dia mahu menyelesaikan sendiri dengan aku.Aku nampak seolah lelaki itu mahu confront aku. Aku biarkan sahaja mereka sambil duduk menanti. Mungkin setelah berjam-jam menunggu aku sudah exhausted mentally and physically.

Gadis itu datang duduk disebelahku dan bertanya mengapa aku begini. Aku dengan linangan air mata menyatakan aku mungkin tidak kisah kalau dia berterus terang padaku tetapi caranya seolah menghinaku dengan berselindung. Akhirnya dia mengaku yang memang benar dia telah menerima lelaki itu sebagai kekasih barunya. Dia meminta maaf jika aku terasa kerana niatnya merahsiakan semua ini kerana ingin menjaga hati aku. DIa mahu aku melupakanya kerana aku sudah tiada dihatinya. Tidak mungkin dia akan menerima aku kembali.

Aku walaupun kecewa tapi berpuas hati kerana akhirnya dia berterus terang. Itu yang aku mahukan…kebenaran. Ketika itu aku rasakan jiwa aku seolah sudah kosong. Aku rasakan yang aku memang tidak boleh kembali normal jika terus bekerja di situ atau berada dekat dengannya.

Demi menjaga kewarasan aku dan tidak mahu terus jeopardize reputasi syarikat, aku mengambil keputusan drastik dengan berhenti kerja. Kalau ikutkan aku sayang kerja itu kerana ketika itu memang sukar bagi sesiapa untuk mendapat kerja di syarikat telekomunikasi terulung itu. Aku korbankan segala benefits dan peluang cerah dalam syarikat demi utk melupakan sebuah cinta luka.

Awalnya aku amat sesali keputusan itu. Namun sekarang aku redha kerana percaya semua ada hikmah disebaliknya. Selama 6 bulan juga aku mengambil masa untuk betul-betul melupainya. Sekarang aku tiada apa-apa perasaan lagi padanya atau sesiapa pun. Hubungannya dengan lelaki itu pun tidak kekal lama. Aku dengar dia telah berkahwin dengan lelaki lain. Semoga dia kekal bahagia selamanya.

Selepas bekerja di sana sini aku akhirnya mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi. Semasa belajar aku pernah cuba kembali bercinta. Di sinilah aku mula sedar yang aku telah menjadi seorang philophobic kerana aku tiada perasaan langsung dan akhirnya aku sendiri telah mengecewakan hati seorang perempuan yang lain.

Disebabkan itulah aku gentar untuk bercinta kembali bukan hanya tiada hati tetapi tidak mahu melukakan insan lain. Dari buat orang lain menderita baik aku sendiri tanpa cinta. Aku sayu bila mengenang kembali gadis-gadis yang telah terluka akibat dari eksperimentasiku untuk kembali bercinta. Tapi itu sebuah kisah yang lain. Jika rajin nanti akan aku ceritakan…

Pautan Lengkap:

Trauma Cinta Pertama - Part 1

Trauma Cinta Pertama – Part 2

Trauma Cinta Pertama – Part 3

Trauma Cinta Pertama – Part 4

Trauma Cinta Pertama – Part 5 (last)


Posted on Monday, April 06, 2009

Trauma Cinta Pertama – Part 4

*Maaf karena lambat update dan menyambung kisah cinta pertama aku ni. Kebelakangan ini aku agak sibuk dengan hidup.

Ternyata naluri negatif aku benar berlaka. Memang ada orang ketiga yang telah mencuri hatinya. Sebelum ni memang aku pernah mendengar gossip-gossip dan syak dengan perilakunya yang mencurigakan apabila sedang berbual ditelefon namun semuanya aku sangkal demi kepercayaan jitu padanya. Aku jadi buta dan menganggap kedinginannya sebelum ni hanyalah satu pemberontakan emosi untuk menagih lebih perhatian.

Aku mungkin tidak akan sakit hati, terasa teraniaya dan diperbodohkan kalau dia mengambil masa untuk kembali bercinta dengan lelaki lain. Perhubungannya bermula sejurus selepas dia memutuskan hubungan dengan aku. Lelaki itu pun aku kenali. Tidak rapat tetapi selalu terserempak kerana dia bekerja di tempat yang sama cuma berlainan tingkat.


Aku tidak salahkan lelaki itu kerana dia jarang ke tempat aku. Mungkin cuma terjatuh hati selepas terkesima dengan kelembutan dan kemesraan perempuan itu. Aku masih cuba bersabar tetapi hati aku luka dan bernanah tiada siapa tahu. Setiap kali masa rehat perempuan itu terus bergegas ke lounge untuk menghubungi extension lelaki itu. Alasannya hanya kawan biasa tetapi sebodoh mana seseorang itu dapat menafsirkan cara perbualan antara kawan dengan perbualan dengan seseorang yang bertahkta dihati.

Aku memendam rasa, menahan diri aku dari memberontak kerana menjaga reputasi aku yang sudah mula diterima baik oleh rakan-rakan sekerja setelah aku meredhai perpisahan dengan perempuan itu.

Sampai satu hari..

Tekanan dan pendaman perasaan aku tidak tertahan lagi hari itu lalu aku melakukan tindakan bodoh yang aku sesali sehingga kini. Aku membeli beberapa papan pil panadol. Semasa di workstation aku telan kesemuanya dan masuk ke tandas. Niat aku bukanlah ingin membunuh diri tetapi lebih kepada inginkan perhatian dan simpati dari perempuan itu. Aku masih ada perasaan padanya dan ingin dia kembali.


Di dalam tandas aku mual lalu termuntah. Aku rebah, terbaring sehingga beberapa lama. Aku masih sedar tetapi hanya biarkan diri aku dalam posisi sebegitu sehinggalah rakan sekerja yang menyedari aku telah lama away datang memeriksa dan menjumpai aku terbaring bersama taburan muntah.


Suasana kecoh di pejabat, ambulan dipanggil dan membawa aku ke SJMC di Subang Jaya. Dipendekkan cerita, aku ditahan di wad selama beberapa hari. Selama itu juga aku dapat rasakan kembali kemesraan perempuan itu. Setiap hari selepas kerja dia datang menziarahiku. Dia mengambil berat padaku seperti dulu. Aku rasa berbunga kembali dan sangkaku dia sudah kembali.


Aku silap. Hatinya memang tiada lagi untukku..

Bersambung...
(maaf ya, terpaksa sebab masih panjang dan terpaksa melayani tuntutan hidup)


Posted on Tuesday, March 24, 2009

Trauma Cinta Pertama – Part 3

Aku selama beberapa lama cuba untuk tidak menyelami atau bercerita tentang pengalaman cinta ini. Bukan kerana menghindari melankolia tetapi malu jika semua tahu betapa dungunya aku dahulu setelah terlalu obses menghambakan diri pada cinta ini. Banyak tindakan bodoh dan psycho telahku lakukan yang kurasakan terlalu over demi untuk menyelamatkan cinta yang menyakitkan ini.

Berbalik pada kisah, akhirnya setelah beberapa kali ku desak dia mengaku yang cintanya padaku sudah tiada dan mahu memutuskan perhubungan. Kenyataan itu bagai satu gempa yang maha hebat menggegar aku.

Aku seperti tidak percaya. Dia yang memulakan kenapa dia juga yang menamatkan cinta ini. Dia yang bertanggungjawab merubah diri aku menjadi seorang pencinta dari seorang yang naif dan suci dari cela cinta. Aku tidak dapat menerima hakikat perpisahan ini. Tidak sanggup!

Alasannya dia lemas dengan caraku yang terlalu mengambil berat padanya dan selalu bersamanya. Dia rimas, tidak bebas dan rasa terkongkong. Mungkin salahku juga terlalu obses padanya.

Aku sedar ini dan cuba memunjuknya berkali-kali sehingga melupakan ego seorang lelaki dengan menangis di depannya dan teman-teman sekerja. Aku berjanji mahu berubah asalkan dia memberiku peluang kedua.

Kerja pun terganggu, prestasi merundum dan berkali diberi amaran kerana semasa kerja aku menyalahgunakan sistem telekomunikasi tempat kerja untuk berconference peribadi dengannya demi memujuknya. Perbualan kami pasti didengari kerana supervisors dapat tap setiap panggilan. Aku tidak peduli. Misi menyelamatkan cinta bagiku ketika itu lebih penting dari segalanya. Cinta itu telah sebati menguasaiku. Aku desperate!

Aku turut meminta bantuan kakak-kakak yang lebih senior dari kami untuk membantuku memujuknya tetapi gagal malah kakak-kakak itu pun turut mengkhianatiku dengan menyebelahi gadis itu serta turut memusuhiku setelah dia meluahkan isi hatinya pada mereka.

Sekarang aku sudah tiada sesiapa lagi. Semua telah membelakangi aku. Tempat itu sajalah duniaku pada ketika itu oleh kerana aku baru sahaja berhijrah ke kota dan tiada lagi rangkaian sosial yang kukuh.

Setelah puas berusaha menyakininya dan gagal aku akhirnya mengalah dan sedia melepaskannya asalkan kami masih boleh berkawan. Dia pula berkata yang dia mahu bersendiri dan berehat dari cinta akibat sudah serik. Aku terima alasan itu. Aku juga ingin semuanya kembali seperti sediakala agar aku dapat kembali berdiri memulihkan imej, reputasi dan prestasiku.

Aku akan terus terima hakikat itu dan kembali normal jika dia betul-betul ikhlas dengan pendiriannya. Ternyata apa yang aku syak dan sangsikan benar belaka. Dia ada agenda lain.

Oops!. Maaf kerana terpaksa menyambung konklusi pengalaman ini di Part 4 disebabkan aku harus menyahut lambaian komitmen duniawi.